Sunday, 18 June 2017

Punca Kelemumur Berdarah di Kulit Kepala

kelemumur berdarah di kepala
gambar hanya sekadar hiasan.
Kelemumur adalah masalah biasa. Ia sering menyebabkan kegatalan di kulit kepala. Namun, ada masanya kelemumur menjadi berdarah. Kelemumur secara logiknya sudah tentu tidak berdarah. Yang berdarah sebenarnya adalah kulit kepala. Ia biasanya terjadi apabila anda menggarunya terlalu kuat.

Kelemumur boleh menjadi semakin teruk atau kronik. Kelemumur yang teruk menyebabkan kegatalan pada kulit kepala. Jika anda belum tahu, kelemumur terjadi apabila kulit kepala menjadi kering dan mengelupas. Ada masanya kelemumur diikuti dengan minyak. Minyak tersebut yang juga dipanggil sebum adalah hasil kekeringan kulit kepala. Bila semakin kering, maka kulit kepala menghasilkan lembapan sendiri yang menyebabkan folikel-folikel rambut tersumbat. Bila tersumbat, maka ia akan membawa mikrob yang nanti akan menyebabkan jangkitan bakteria dan kulat penyebab kelemumur.

Bakteria sering menyebabkan rasa gatal tidak kira di mana pun ia berada. Kegatalan inilah yang menyebabkan penghidap kelemumur menggaru kulit kepala dengan agak kuat sehingga kadangkala menyebabkan luka. Selain daripada luka, ia juga mengakibatkan akar rambut menjadi tidak kuat seterusnya menyebabkan rambut gugur. Tidak dinafikan ia boleh menyebabkan kemerahan pada kulit kepala.

Untuk mengatasi masalah kelemumur berdarah, anda kenalah mengatasi kegatalan dahulu. Bermakna, anda kenalah menggaru dengan lebih lembut jika terlalu gatal. Atau, dengan mengatasi masalah utama iaitu kelemumur.

Mengatasi kelemumur boleh dilakukan dengan pelbagai cara mudah. Antaranya ialah mengurangkan stress. Menurut American Academy of Dermatology, stress boleh memberi impak kepada kulit termasuk kulit kepala. Stress boleh diatasi dengan bereakreasi, yoga, bermeditasi atau tidur dan makan dengan cukup.

Diet anda juga hendaklah seimbang. Kurangkan memakan makanan yang mengandungi minyak, coklat dan tenusu. Perbanyakkan mengkonsumi vitamin B.

Ketika bersyampu, pastikan anda bersyampu dengan betul dan bukan hanya sekadar membuat rambut berbuih sahaja. Urut kulit kepala dengan lembut dan betul untuk menyingkirkan minyak atau sebum yang menjadi tempat kulat membiak. Terdapat sejenis kulat yang biasa tumbuh di kulit kepala namun jika ia tumbuh tanpa kawalan, ia boleh mengakibatkan kelemumur. Gunakan syampu daripada jenama yang dipercayai.

Anda boleh menggunakan kaedah yang mudah dan berkos rendah untuk menghilangkan kelemumur dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi. Jika anda ada baca artikel-artikel sebelum ini, sudah dijelaskan enam cara untuk menghilangkan kelemumur dengan bahan-bahan yang berbeza. Berikut ialah bahan-bahan tersebut.

1. Minyak Zaitun.

kelemumur berdarah di kepala

Minyak zaitun ialah bahan yang boleh menentang radang daripada kelemumur kronik dan mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin K, vitamin E dan vitamin A. Ia juga mengandungi anti-oksida yang baik untuk kulit. Selain itu, minyak ini boleh mengatasi masalah kekeringan pada kulit kepala yang menjadi punca kelemumur. Minyak ini juga mengandungi polifenol yang mana dapat membantu membersihkan rambut dengan lebih dalam berbanding kebanyakan produk syampu.

Cara mudah yang anda boleh lakukan untuk merawat kelemumur dengan minyak zaitun ialah dengan mencampurkan tiga sudu teh minyak zaitun (extra virgin) bersama dengan satu sudu teh lada hitam lalu gunakannya untuk mengurut kulit kepala secara membulat. Setelah itu, biarkan selama sejam atau semalaman sebelum dibasuh dengan air dan syampu. Anda boleh ulang kaedah ini setiap malam.

[Baca: Cara Mengatasi Kelemumur di Kulit Kepala Dengan Menggunakan Minyak Zaitun]

2. Minyak Kelapa.
kelemumur berdarah di kepala

Minyak kelapa boleh mengatasi masalah kekeringan kulit kepala yang boleh membawa kepada kelemumur dan kegatalan. Ia juga mengandungi bahan anti-kulat, asid laurik, asid capric dan vitamin E yang boleh membina semula rambut, meningkatkan kekuatan rambut dengan mencegah kehilangan protein.

Dapatkan tiga hingga lima sudu minyak kelapa minyak kelapa dan gunakannya untuk mengurut kulit kepala dengan lembut selama beberapa minit. Kemudian, biarkan minyak kelapa tersebut di kepala anda selama semalaman. Anda boleh membersihkannya pada keesokan pagi dengan syampu dan air bersih tanpa menggunakan perapi rambut. Ulang kaedah ini setiap hari selama lima hari hingga seminggu.

[Baca: Cara Merawat Kelemumur di Rambut Dengan Menggunakan Minyak Kelapa]

3. Gel Lidah Buaya atau Aloe Vera.
kelemumur berdarah di kepala

Lidah buaya ialah tumbuhan yang mengandungi khasiat dan sering digunakan untuk kesihatan kulit. Tumbuhan ini mengandungi kompaun anti-radang yang boleh menentang dan mencegah keradangan serta kegatalan. Ia juga boleh menyingkirkan sel-sel kulit yang sudah mati dan juga kelemumur di kepala dan rambut. Lidah buaya juga boleh membunuh kuman dan mengandungi bahan anti-kulat yang boleh melawan kulat punca kelemumur.

Salah-satu cara ialah dengan mencampurkan gel lidah buaya bersama dengan minyak kelapa lalu masak dengan suhu yang rendah selama 20 minit hingga setengah jam. Setelah suhu campuran minyak kelapa dan gel lidah buaya tersebut menurun sehingga ke suhu bilik, gunakannya untuk mengurut kulit kepala anda selama beberapa minit dan biarkan selama satu atau dua jam sebelum rambut anda dicuci.

[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Daripada Rambut dan Kepala Dengan Menggunakan Gel Lidah Buaya]

Itu adalah tiga bahan yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah kekeringan kulit kepala dan juga kelemumur. Selain daripada bahan-bahan yang dinyatakan di atas, terdapat lagi beberapa kaedah yang lain seperti kaedah-kaedah yang menggunakan lemon atau cuka atau garam.

Jangan berhenti dulu. Itu hanyalah sedikit info tentang kelemumur berdarah yang disebabkan kegatalan dan beberapa cara untuk menghilangkan kelemumur. Ada masanya kelemumur yang ada pada kulit kepala ada kesan daripada beberapa jenis penyakit kulit seperti psoriasis, dermatitis seborrheic (kedudukan perkataan berbeza untuk bahasa Inggeris), ekzima atau sejenis alahan.

Penyakit-penyakit kulit seperti yang dinyatakan di atas kadangkala memberi kesan kulit mengelupas termasuk kulit kepala. Ia boleh terjadi di mana-mana sahaja di kawasan kulit jadi anda sangat dinasihatkan untuk mengenal pasti simpton-simpton penyakit tersebut seperti kemerahan kulit, kerengsaan, kegatalan yang melampau, kulit mengelupas dan lain-lain (silakan cari info sendiri). Jika anda rasa anda menghidapi sejenis penyakit kulit, anda sangat disarankan dan dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor.