Kelemumur biasanya disebabkan oleh kekeringan, mikroorganisma, musim dan penyakit seperti Dermatitis Seborrheic. Ada sesetengah orang yang mengalami kelemumur yang teruk atau kronik sehingga menyebabkan kerengsaan pada kulit kepala, kegatalan yang melampau dan kulit kepala yang berdarah akibat luka menggaru dengan terlalu banyak dan kuat.
Anda boleh mencuba kaedah semula jadi dan murah dahulu jika ingin menghilangkan kelemumur sebelum membeli produk kelemumur dengan harga yang agak mahal. Terutama sekali jika masalah kelemumur yang dihidapi tidak begitu teruk. Tetapi, jika anda menghidapi masalah kelemumur yang teruk atau kronik, anda sangat dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor.
Kali ini, adalah dengan menggunakan lidah buaya atau aloe vera. Lidah buaya sememangnya tumbuhan yang berkhasiat. Gel daripada lidah buaya sering digunakan untuk tujuan kesihatan dan kecantikan termasuklah kecantikan pada kulit badan. Antara contoh khasiat yang boleh didapati daripada lidah buaya ialah kompaun anti-radang yang boleh mengurangkan radang dan kegatalan.
Selain itu, lidah buaya mengandungi bahan anti-kulat yang boleh menentang kulat penyebab kelemumur di kulit kepala. Selain anti-kulat, lidah buaya mengandungi bahan anti-bakteria semula jadi yang boleh membunuh kuman dan enzim pembersihan yang boleh menyingkirkan sel-sel kulit mati dan kelemumur. Tidak dinafikan juga ia boleh menyuburkan rambut dan kulit kepala dan boleh membersihkan kulit kepala secara dalam. Sebagai info tambahan, gel lidah buaya juga boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat dan parut daripada bekas jerawat.
Cara-cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Gel Lidah Buaya atau Aloe Vera.
1. Dengan Gel Lidah Buaya Sahaja.
1. Picit lidah buaya untuk mendapatkan gel.
2. Sapukan gel tersebut ke kulit kepala.
3. Urut kulit kepala bersama gel tadi dengan lembut kemudian balut rambut dengan menggunakan tuala hangat dan lembab serta bersih.
4. Biarkan selama beberapa minit.
5. Basuh rambut anda menggunakan air bersih dan syampu kurang pekat.
6. Ulang kaedah ini tiga kali dalam seminggu.
2. Gel Lidah Buaya Dengan Minyak Kelapa.
Minyak kelapa mengandungi bahan anti-kulat. Ia juga dapat menentang kekeringan pada kulit kepala di samping dapat melembabkan rambut dengan lebih dalam. Minyak kelapa juga adalah perapi rambut semula jadi dan boleh membina serta menguatkan rambut. Minyak kelapa terbukti dapat membantu merawat kelemumur.
1. Dapatkan gel daripada lidah buaya dan tambahkan minyak kelapa.
2. Masak dengan suhu yang rendah selama 20 hingga 30 minit.
3. Tunggu sehingga suhu menurun ke suhu bilik.
4. Gunakannya untuk mengurut kulit kepala dengan lembut selama beberapa minit.
5. Biarkan selama satu atau dua jam.
6. Basuh rambut dengan menggunakan air yang bersih.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Minyak Kelapa]
3. Gel Lidah Buaya Dan Bawang Putih.
Bawang putih boleh membunuh bakteria termasuk bakteria yang menyebabkan kelemumur.
1. Tambah dua hingga empat ulas bawang putih bersama dengan lima sudu gel lidah buaya.
2. Kacau dengan betul dan sebati untuk membuat pes.
3. Letakkan pes tersebut di kulit kepala dan biarkan selama 40 minit sebelum dibasuh dengan syampu kurang pekat.
4. Lakukan kaedah ini sekerap yang perlu.
4. Gel Lidah Buaya, Yogurt serta Jus Lemon.
Yogurt mengandungi bakteria baik yang boleh menyihatkan kulit kepala dan mencegah kelemumur manakala madu boleh menyuburkan kulit dan rambut. Jus lemon pula dapat menyingkirkan kotoran manakala lemon mengandungi vitamin C dan asid sitrik yang boleh melawan kelemumur di samping mengandungi anti-oksida yang menggalakkan kesihatan kulit kepala dan rambut.
1. Campurkan setengah sudu teh jus lemon yang masih segar, setengah cawan yogurt dan empat sudu teh gel lidah buaya.
2. Sapukan campuran tersebut ke kulit kepala.
3. Tungguh selepas 25 minit kemudian basuh rambut dengan menggunakan syampu kurang pekat.
4. Ulang kaedah ini dua kali seminggu selama sekurang-kurangnya sebulan.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Menggunakan Lemon]
5. Gel Lidah Buaya dan Minyak Pati Pokok Teh.
Minyak pokok teh atau tea tree oil mengandungi anti-kulat, antiseptik, anti-bakteria yang boleh membunuh bakteria dan kulat yang menjadi punca kelemumur pada kulit kepala.
1. Campurkan lima hingga tujuh titik minyak pokok teh dan dua sudu gel lidah buaya.
2. Sapukan campuran ini ke kulit kepala dan biarkan semalaman.
3. Basuh rambut dengan air bersih.
4. Ulang kaedah ini tiga kali seminggu.
6. Gel Lidah Buaya dan Teh Hijau.
Teh hijau mengandungi bahan anti-oksida yang boleh membantu merawat kelemumur pada kulit kepala dan mencegah keguguran rambut dengan merapikan rambut anda.
1. Rendam dua hingga tiga pek teh hijau dalam dua cawan air yang mendidih selama sepuluh minit.
2. Dapatkan gel segar daripada lidah buaya dan campurkan bersama air teh tadi. Kacau agar sebati.
3. Tuangkan campuran ini ke dalam sebotol penyembur yang kosong dan bersih.
4. Semburkan ke seluruh rambut dan kulit kepala anda.
5. Biarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum membilas rambut dengan bersih.
6. Gunakan kaedah ini sekali dalam seminggu untuk mengurangkan kelemumur di kulit kepala.
7. Gel Lidah Buaya dan Jus Lemon.
Seperti yang dinyatakan di atas tadi, lemon mengandungi vitamin C dan asid sitrik yang boleh melawan kelemumur. Ia juga mengandungi anti-oksida yang menggalakkan rambut dan kulit kepala menjadi sihat. Ia juga mengandungi anti-kulat yang boleh menentang kulat penyebab kelemumur di samping dapat membersihkan sisa-sisa syampu, sabun atau bahan kimia daripada produk rambut.
1. Dapatkan jus daripada separuh biji lemon dan campurkan jus lemon tersebut bersama 1/3 cawan gel lidah buaya/
2. Tuangkan campuran ini ke kulit kepala dan rambut lalu urut dengan lembut.
3. Biarkan dalam setengah jam.
4. Basuh rambut dengan menggunakan air suam.
5. Ulang kaedah ini sekali dalam seminggu.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Lemon]
8. Gel Lidah Buaya dan Kapur Barus.
Kapur barus boleh membunuh mikrob-mikrob yang menyebabkan jangkitan pada kulit kepala anda. Sebagai nasihat, gunakan kapur barus yang asli dari pohonnya. Hal ini kerana biasanya kapur barus yang sudah diproses mengandungi campuran bahan kimia.
1. Campurkan setengah sudu teh serbuk kapur barus bersama dengan tiga sudu teh gel lidah buaya.
2. Gunakan campuran ini untuk mengurut seluruh kulit kepala dengan lembut.
3. Biarkan selama sejam. Tetapi jika anda inginkan hasil yang lebih memuaskan, biarkan semalaman.
4. Basuh rambut anda dengan menggunakan air suam yang bersih.
Itulah cara-cara menghilangkan kelemumur di kulit kepala dengan menggunakan gel lidah buaya atau aloe vera. Anda boleh mencuba mana-mana kaedah dalam artikel ini untuk membantu anda mengatasi masalah kelemumur tanpa membazir wang untuk membeli produk rambut dan kelemumur yang mahal. Walaubagaimanapun, jika masalah kelemumur anda kronik, anda sangat dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor.