Monday 5 June 2017

Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Cuka

cara menghilangkan kelemumur cuka
Kadangkala, bukan mudah untuk mengatasi masalah kelemumur di kulit kepala. Kelemumur juga boleh menjadi kronik apabila ia juga menyebabkan kemerahan dan kerengsaan pada kulit kepala dan membuatkan penghidap kelemumur berasa tidak selesa kerana berasa terlalu gatal.

Jika anda belum tahu, kelemumur adalah sel-sel kulit kepala yang sudah mati dan mengelupas. Punca utama kelemumur dikatakan belum diketahui namun kemungkinan besar salah-satunya ialah  sejenis mikroorganisma yang dinamakan Malassezia Globosa. Mikoorganisma ini diketahui menjadi agen utama kelemumur melalui satu kajian yang dilakukan pada tahun 2007.

Untuk menghilangkan kelemumur, salah-satunya ialah melalui cuka. Cuka dipercayai berkesan untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati pada kulit kepala dan boleh membunuh bakteria termasuk bakteria penyebab kelemumur. Anda dinasihatkan setelah menggunakan mana-mana cara di dalam artikel, pastikan anda mencuci rambut dan kepala anda dengan betul-betul. Hal ini kerana cuka mengandungi asid asetik yang boleh menyebabkan rasa pedih. Anda juga hendaklah berhati-hati agar cuka tidak memasuki mata.

Cara-cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Cuka.

1. Cuka Sahaja.

cara menghilangkan kelemumur cuka

Dengan menggunakan cuka sahaja, terdapat tiga kaedah dalam artikel ini untuk mengatasi masalah kelemumur di kulit kepala.

Kaedah Pertama.

1. Letakkan sedikit sahaja cuka pada kapas yang ada.

2. Urut kulit kepala anda menggunakan kapas itu selama beberapa minit.

3. Bungkus kepala anda dengan tuala suam supaya cuka itu lebih mudah meresap ke kulit kepala.

4. Tunggu ia kering dalam masa kira-kira setengah jam.

5. Cuci dan bilas rambut dan kepala anda dengan air suam dengan betul-betul bersih tanpa menggunakan syampu.

6. Ulang kaedah ini dua kali seminggu atau sekurang-kurangya sekali dalam sebulan.

Kaedah Kedua.

1. Cuci rambut anda tetapi tanpa menggunakan syampu atau perapi rambut. Sebagai ganti untuk syampu, anda boleh menggunakan minyak pati berasaskan sitrus atau minyak pokok teh.

2. Siram campuran cuka dan air ke kepala anda. Pastikan kuantiti cuka dan air itu sama rata.

3. Ketika menyiram campuran itu, pastikan ia tidak masuk ke mata. Lakukannya dengan perlahan-lahan dan berhati-hati.

4. Ambil sedikit masa untuk mengurut kulit kepala anda menggunakan tangan.

5. Biarkan campuran air dan cuka itu di kepala anda selama beberapa minit. Ini bertujuan supaya cuka tersebut masuk ke kulit kepala anda.

6. Setelah itu, cuci dan bilas rambut anda dengan betul-betul bersih menggunakan air suam. Anda boleh menggunakan syampu dan perapi rambut untuk menghilangkan bau cuka di kulit kepala.

7. Ulang kaedah ini setiap hari sehingga kelemumur mula menghilang daripada kulit kepala.

Kaedah Ketiga.

1. Letakkan tiga sudu cuka ke kulit kepala anda.

2. Urut dengan lembut selama beberapa minit sebelum dibiarkan selama 10 hingga 15 minit.

3. Cuci dan bilas rambut anda menggunakan air dan syampu. Pastikan betul-betul bersih. Anda boleh guna perapi rambut jika mahu.

2. Cuka dan Buah Pisang.
cara menghilangkan kelemumur cuka dan pisang

Pisang adalah makanan yang berkhasiat. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan untuk menghilangkan kelemumur pada kulit kepala.

1. Ambil sebiji pisang dan buang kulitnya.

2. Letakkan pisang itu ke dalam pengisar bersama dua cawan cuka. Kemudian, kisarkan.

3. Ambil satu pes halus sahaja daripada campuran buah pisang dan cuka tadi dan letakkan di kulit kepala anda.

4. Urut kulit kepala anda dengan lembut selama lima hingga sepuluh minit. Kemudian, biarkan selama 20 minit hingga sejam.

5. Cuci dan bilas kepala dan rambut anda dengan air bersih. Pastikan anda melakukannya sehingga betul-betul bersih.

6. Ulang setiap hari selama seminggu. Kemudian, sekali dalam seminggu sahaja.

3. Cuka dan Aspirin.
cara menghilangkan kelemumur cuka dan aspirin

Aspirin bukan sahaja dapat meringankan sakit kepala dan penahan sakit, tetapi ia juga boleh digunakan untuk kelemumur.

1. Ambil tiga pil aspirin dan hancurkan.

2. Campurkan aspirin yang sudah dihancurkan bersama secawan cuka.

3. Kacau dengan betul supaya lebih sebati.

4. Letakkan campuran aspirin dan cuka itu ke rambut anda setelah bersyampu ketika rambut anda masih basah.

5. Biarkan selama 5 hingga 10 minit kemudian bilas sehingga bersih.

6. Pakai sedikit perapi rambut dan bilas sekali lagi.

7. Keringkan rambut anda dengan betul.

4. Cuka dan Lemon.
cara menghilangkan kelemumur cuka dan lemon

Lemon boleh membunuh bakteria. Ia juga berkesan untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati. Disarankan supaya anda menjauhkan diri daripada cahaya uv atau cahaya matahari selepas menggunakan cara ini. Campuran lemon dan cuka boleh membantu anda mengatasi masalah kelemumur dengan lebih berkesan.

1. Ambil dua sudu teh cuka dan campurkan bersama satu sudu teh jus lemon yang baru diperah.

2. Kacau sehingga sebati dan gunakannya untuk mengurut kulit kepala anda dengan lembut.

3. Bilas rambut dan kepala anda sehingga bersih. Anda boleh ulang kaedah ini setiap hari.

5. Cuka Sider Epal (Apple Cider Vinegar)
cara menghilangkan kelemumur cuka sider epal atau apple cider vinegar

Anda memerlukan alat penyembur untuk kaedah ini. Anda boleh membelinya di kedai atau gunakan bekas penyembur minyak wangi yang sudah dicuci jika cukup besar.

1. Campurkan 1/4 cawan cuka sider epal bersama beberapa sudu air di dalam penyembur.

2. Semburkan campuran cuka sider epal dan air tadi terus ke kulit kepala. Anda boleh juga guna bebola kapas. Tutup mata agar tidak masuk ke dalam mata.

3. Urut cuka itu sehingga ke kulit kepala.

4. Biarkan dalam 20 minit.

5. Cuci dan bilas rambut anda sehingga bersih. Anda boleh guna syampu dan perapi rambut untuk menghilangkan bau cuka.

6. Ulang kaedah ini beberapa kali dalam seminggu.

6. Cuka dan Minyak Pokok Teh.

cara menghilangkan kelemumur cuka minyak pokok teh atau tea tree oil

Minyak pokok teh atau tea tree oil adalah antiseptik semula jadi dan boleh membantu anda untuk menghilangkan kelemumur pada kulit kepala.

1. Campurkan tiga sudh cuka dan tiga titik minyak pokok teh.

2. Kacau atau gaul sehingga sebati.

3. Letakkan di kulit kepala anda dan urut dengan lembut selama beberapa minit.

4. Cuci dan bilas rambut anda menggunakan air dan syampu sehingga bersih.

7. Cuka dan Teh Chamomile.
cara menghilangkan kelemumur cuka dan teh chamomile

Teh ini boleh membantu mengurangkan bau cuka dan menjadikan rambut anda lebih bersinar dan sihat.

1. Campurkan satu sudu teh cuka putih bersama 200ml teh chamomile. Pastikan teh anda tidak dicampur dengan susu.

2. Bilas rambut anda menggunakannya.

3. Biarkan selama lima hingga lapan minit kemudian bilas menggunakan air sehingga betul-betul bersih.

8. Cuka dan Jus Akar Bit.
cara menghilangkan kelemumur cuka dan jus akar bit

1. Campurkan cuka dan jus akar bit dengan kuantiti yang sama rata.

2. Tuangkan campuran itu ke kulit kepala anda secara perlahan-lahan.

3. Biarkan selama 15 sebelum dibilas sehingga bersih.

Setakat itu sahaja cara-cara menghilangkan kelemumur daripada kulit kepala menggunakan cuka. Ingat, setelah menggunakan mana-mana kaedah di dalam artikel ini, cuci dan bilas rambut anda menggunakan air sehingga betul-betul bersih. Untuk keselamatan, anda boleh memakai pelindung mata agar cuka tidak memasuki mata anda.

Jika anda berasa tidak selesa ketika mencuba kaedah-kaedah ini, anda boleh menggunakan alternatif lain contohnya menggunakan garam untuk mengatasi masalah kelemumur. Tetapi, jika masalah kelemumur anda masih teruk atau kronik, disarankan untuk segera berjumpa doktor.