Kelemumur adalah masalah umum pada kulit kepala. Kelemumur juga menyebabkan ketidakselesaan pada kulit kepala dan kadangkala atau selalu menjadi faktor gangguan psikologi apabila penghidap kelemumur yang kronik hilang keyakinan diri dan sukar untuk bergaul dengan masyarakat.
Apakah Itu Kelemumur?
Apa itu kelemumur? Kelemumur adalah sel-sel dari kulit kepala yang sudah mati dan mengelupas. Hampir semua orang di dunia mengalami masalah kelemumur selepas akil baligh dan setakat ini, belum ada penawar yang pasti untuk kelemumur walaupun kebanyakan kes kelemumur boleh dirawat menggunakan syampu.
Kira-kira 487,000 sel/cm² mengelupas setelah menggunakan rawatan bahan pencuci seperti syampu. Angka itu adalah angka yang normal namun, sesetengah orang membebaskan kelemumur dalam angka yang tidak normal sama ada kronik ataupun yang dicetuskan oleh beberapa faktor iaitu sehingga 800,000 sel/cm² dan boleh diiringi oleh kemerahan pada kulit kepala dan kerengsaan.
Separuh daripada populasi yang sudah akil-baligh mengalami masalah kelemumur. Kelemumur juga selalu mengakibatkan kegatalan pada kulit kepala. Ia telah dikenal pasti bahawa keratinosit, iaitu sejenis sel utama di epidermis, memainkan peranan penting dalam tindak balas imunologi yang mendorong kepada pembentukan kelemumur.
Tahap kelemumur boleh berubah-ubah mengikut musim dan selalunya menjadi lebih teruk ketika musim sejuk. Kelemumur jarang ada di kalangan mereka yang belum akil-baligh, mula ada ketika remaja dan awal 20an, dan mula menghilang apabila umur semakin meningkat.
Punca Kelemumur.
Terdapat beberapa punca kelemumur termasuklah seperti kulit kering, dermatitis seborrhoeic, tidak menggosok kulit kepala dengan betul dan cukup ketika mandi, terlalu sering mensyampu rambut, sensitiviti atau alahan kepada produk penjagaan rambut, ekzema, psoriasis atau juga daripada sejenis kulat.
Apabila lapisan epidermal terus menggantikan dirinya, sel-sel ditolak keluar di mana ia akhirnya akan mati dan mengelupas. Untuk kebanyakan orang, sel yang mengelupas ini terlalu kecil sehingga tidak cukup ketara. Namun, terdapat beberapa keadaan yang mana menyebabkan sel menjadi pesat terutama di bahagian kulit kepala.
Secara hipotesis, untuk mereka yang mengalami masalah kelemumur, sel-sel kulit akan menjadi matang dan akan mengelupas dalam 2-7 hari, yang mana adalah dalam sekitar sebulan bagi mereka yang tidak ada masalah kelemumur. Ini akan menyebabkan pengelupasan sel-sel kulit mati dalam jumlah yang banyak dan muncul sebagai kelemumur berwarna putih atau kelabu pada kulit kepala, kulit badan dan pakaian.
Menurut sebuah kajian, kelemumur adalah hasil daripada tiga faktor iaitu:
1. Minyak pada kulit yang juga dikenali sebagai sebum atau rembesan sebum.
2. Mikroorganisma kulit daripada produk metabolik kulit atau lebih spesifik, kulat Malassezia.
3. Individu yang sensitif kepada alahan.
Mikroorganisma.
Menurut sebuah kajian pada tahun 2016, bakteria terutamanya Propionibacterium dan Staphylococcus adalah lebih penting dalam pembentukan kelemumur berbanding kulat. Kehadiran bakteria adalah disebabkan oleh air dan jumlah sebum.
Kulat Malassezia furfur (sebelum ini dikenali sebagai Pityrosporum ovale) juga pernah dikatakan menjadi punca terjadinya kelemumur. Walaubagaimanapun, spesies kulat ini memang muncul secara semula jadi pada permukaan kulit mereka yang ada masalah kelemumur dan juga yang tidak ada masalah kelemumur. Pada tahun 2007, ia telah diketahui bahawa agen yang menyebabkan kelemumur adalah Malassezia globosa, yang memetabolismekan kehadiran triglycerides dalam sebum melalui pembebasan lipase (bukan lipas) dan menyebabkan asid oleic.
Ketika kelemumur, tahap Malassezia meningkat dari 1.5 kepada 2 kali ganda daripada tahap normal. Asid oleic menekan bahagian atas epidermis iaitu stratum corneum dan menyebabkan tindak balas radang kepada mereka yang mengalami kecenderungan atau sensitif yang mana akan menganggu homeostasis dan menghasilkan belahan tidak menentu di sel-sel stratum corneum.
Walaubagaimanapun, punca sebenar kelemumur masih belum diketahui.
sumber dan kredit: wikipedia