Kelemumur adalah masalah kulit kepala yang umum. Hampir semua lelaki dan perempuan yang akil baligh di dunia mengalami masalah kelemumur. Walaupun kelemumur boleh diatasi dengan pelbagai cara, namun ada kalanya kelemumur boleh menjadi kronik sehingga ada masanya menyebabkan rambut gugur.
Adakah kelemumur punca rambut gugur? Kelemumur mungkin boleh menyebabkan rambut gugur tetapi bukan secara langsung. Biasanya, kesan daripada kelemumur di kulit kepala seperti kegatalan yang melampau adalah punca rambut gugur apabila kulit kepala digaru dengan terlalu kuat. Menggaru kulit kepala tanpa kawalan atau terlalu kuat juga kadangkala menyebabkan kulit kepala berdarah.
Tetapi, rambut gugur bukan hanya disebabkan kelemumur sahaja. Ada masanya kelemumur pula yang berpunca daripada rambut gugur tetapi tidak secara langsung. Contohnya, ada sesetengah orang diberi sejenis ubat atau syampu yang mengandungi bahan Minoxidil. Bahan ini digunakan untuk merawat rambut gugur tetapi dalam masa yang sama, ia juga mengandungi alkohol yang meningkatkan kecenderungan kulit kepala untuk mengering dan mengelupas sehingga menjadi seperti kelemumur.
Apabila kulit kepala kering dan mula mengelupas, ia akan menyebabkan kegatalan dan sudah tentu, anda pasti menggarunya bukan? Apabila anda menggarunya dengan terlalu kuat, maka akar rambut pun semakin berkurangan kekuatannya dan akhirnya, terjadilah keguguran rambut.
Selain daripada Minoxidil, ada juga faktor lain yang menyebabkan kulit kepala menjadi kering seperti penyakit psoriasis, ekzema, atau sejenis kulat Malassezia. Malah, diet yang tidak sihat, ketidaksihatan, tidak menjaga kebersihan dan bersyampu dengan cara yang salah juga boleh menyebabkan kulit kepala kering dan mengelupas lalu menjadi kelemumur.
Kesimpulannya, kelemumur boleh menjadi punca rambut gugur dan rambut gugur boleh menyebabkan kelemumur tetapi tidak secara langsung. Kegatalan daripada kelemumur yang menyebabkan rambut gugur dan Minoxidil untuk merawat rambut gugur menyebabkan kelemumur. Tidak pasti mana satu yang dulu tetapi apa yang pasti, untuk mengurangkan masalah rambut gugur, anda hendaklah menggaru kulit kepala dengan lebih lembut atau menggaru di kawasan kulit kepala sahaja tanpa merosakkan rambut.
Anda juga kena berhati-hati ketika memilih produk syampu kerana ada kalanya produk syampu merosakkan lagi rambut dan kulit kepala. Sebagai tips untuk menghilangkan kelemumur daripada kulit kepala, anda boleh menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti garam, lemon, cuka, minyak kelapa, gel lidah buaya dan minyak zaitun.
Berikut adalah cara-cara mengatasi kelemumur menggunakan bahan-bahan tersebut bersama pautan untuk ke artikel lanjut.
1. Garam.
Garam adalah bahan anti-bakteria yang boleh menentang bakteria yang boleh menyebabkan kelemumur. Ia juga boleh menyingkirkan sel-sel kulit yang sudah mati dan menentang kulat yang sering menjadi punca pembentukan kelemumur.
1. Panaskan Air Sehingga Suam.
2. Kemudian, masukkan tiga sudu teh garam ke dalam air tersebut. Setelah itu, kacaukan.
3. Apabila suhu air mula menurun kepada suhu biasa, bilas kulit kepala anda menggunakan air tersebut kemudian urut selama lima hingga lapan minit.
4. Selepas itu, basuh rambut anda dengan menggunakan syampu sama ada syampu biasa, atau syampu yang khas untuk mengatasi kelemumur.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Garam]
2. Cuka.
1. Campurkan cuka dengan air yang bersih dengan kuantiti yang sama rata.
2. Cuci dahulu rambut anda tanpa menggunakan sebarang syampu atau produk rambut. Anda boleh menggunakan minyak pati berasaskan sitrus atau minyak pokok teh untuk menggantikan syampu.
3. Tuangkan campuran cuka dan air tadi ke kepala. Berhati-hati dan jangan sampai masuk ke dalam mata.
4. Urut kulit kepala selama beberapa minit.
5. Biarkan selama beberapa minit supaya cuka meresap ke dalam kulit kepala.
6. Basuh rambut dan kulit kepala dengan bersih. Gunakan syampu atau perapi rambut untuk menghilangkan bau cuka.
Jika kaedah ini tidak sesuai dengan anda misalnya kulit anda sensitif, cuba cara lain. Pastikan juga rambut anda betul-betul bersih daripada cuka.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Cuka]
3. Minyak Kelapa.
Minyak kelapa boleh melembabkan kulit kepala dengan lebih dalam dan mengatasi masalah kekeringan. Ia juga boleh melawan kulat penyebab kelemumur dan boleh membina semula rambut serta menguatkan rambut di samping dapat mengurangkan masalah rambut gugur.
1. Ambil 3 hingga 5 sudu minyak kelapa dan tuangkan ke kulit kepala.
2. Urut kulit kepala dengan lembut selama beberapa minit dan biarkan semalaman.
3. Basuh rambut pada keesokan pagi dengan menggunakan air bersih serta syampu tanpa menggunakan sebarang perapi rambut.
4. Lakukan kaedah ini setiap hari selama lima hingga tujuh hari.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Minyak Kelapa]
4. Minyak Zaitun.
Minyak zaitun boleh mengatasi masalah kekeringan rambut. Ia juga merangsang peraliran darah dan menggalakkan rambut tumbuh di samping dapat melindungi folikel-folikel dan akar rambut dan menguatkannya. Bererti, dapat mengurangkan rambut gugur. Tidak dinafikan juga mengandungi pelbagai vitamin dan anti-oksida.
1. Hangatkan minyak zaitun extra virgin dan tunggu sehingga suam.
2. Bila sudah kurang panas, gunakannya untuk mengurut kulit kepala secara membulat selama lima minit.
3. Balut rambut dengan tuala bersih.
4. Biarkan selama 30 minit atau semalaman.
5. Basuh rambut anda dengan bersih.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Minyak Zaitun]
5. Lemon.
Lemon boleh menentang bakteria dan kulat penyebab kelemumur. Ia juga boleh menyingkirkan kulit mati dan mengandungi vitamin dan anti-oksida yang boleh menggalakkan rambut yang sihat.
1. Pecahkan sebiji telur dan campurkan bersama jus lemon yang baru diperah.
2. Kacau sehingga sebati sebelum dituangkan ke rambut.
3. Biarkan selama 15 hingga 20 minit kemudian basuh rambut. Boleh guna syampu untuk hilangkan bau telur.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Lemon]
6. Gel Lidah Buaya.
Lidah buaya boleh menentang bakteria dan kulat penyebab kelemumur. Lidah buaya juga berkhasiat untuk menyuburkan rambut dan kulit kepala serta boleh mengurangkan radang dan kegatalan. Bermakna, masalah rambut gugur akibat menggaru dengan kuat juga boleh dikurangkan.
1. Urut kulit kepala dengan lembut menggunaka gel lidah buaya.
2. Balut rambut menggunakan tuala hangat dan bersih dan biarkan selama beberapa minit.
3. Basuh rambut dengan air bersih dan syampu kurang pekat.
4. Ulang kaedah ini tiga kali seminggu.
[Baca: Cara Menghilangkan Kelemumur Dengan Menggunakan Gel Lidah Buaya]
Selain daripada enam kaedah yang dinyatakan di atas, anda boleh melakukan cara mudah untuk menghindari kelemumur serta rambut gugur dengan menghindari stress. Untuk menghindari stress, anda boleh menggunakan pelbagai cara seperti bereakreasi dan meditasi. Selain itu, anda juga hendaklah mengawal diet dengan mengurangkan makanan berminyak, tenusu dan coklat dan mengkonsumi lebih banyak vitamin B. Antara makanan yang mengandungi vitamin B adalah ayam, ikan, sayur-sayuran, telur dan sebagainya. Jangan lupa, untuk bersyampu dengan cukup lama dan betul. Pastikan syampu yang digunakan dipercayai tidak menyebabkan rambut gugur atau kelemumur.
Hilangkan kelemumur dengan kaedah di atas dan juga dengan menggunakan kaedah lain di artikel lain. Jika memang kelemumur adalah punca keguguran rambut, maka sebaiknya anda berusaha untuk merawat kelemumur. Seperti biasa, jika masalah kelemumur dan rambut gugur yang anda hidapi terlalu teruk atau kronik, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor atau pakar kesihatan yang boleh dipercayai.